Setiap kali menjelang Aidilfitri, pemandangan yang sama akan berulang. Lebuh raya sesak dengan kenderaan yang bergerak perlahan, lapangan terbang dipenuhi manusia dengan wajah letih tetapi teruja, harga tiket melambung tinggi seolah-olah itu sudah menjadi perkara biasa yang tidak lagi dipersoalkan. Media sosial pula dibanjiri dengan gambar kepulangan; senyuman di sisi ibu bapa, juadah raya yang tersusun rapi, dan pelukan yang menutup jarak berbulan lamanya.

Dalam semua itu, ada satu naratif yang sering diraikan, kepulangan. Seolah-olah pulang itu adalah penamat kepada sebuah perjalanan panjang, dan segala kesusahan sepanjang tahun terbayar dalam beberapa hari bersama keluarga.

Namun dalam perjalanan pulang itu, ada satu persoalan yang sukar untuk dielakkan. Jika setiap tahun kita perlu melalui proses yang sama—merancang cuti, menempuh perjalanan yang panjang, berdepan kos yang semakin tinggi, mengapa kita menerima keadaan ini sebagai sesuatu yang normal?

Mengapa berjauhan dengan keluarga sepanjang tahun dianggap sebagai harga yang wajar untuk dibayar?

Realitinya, merantau untuk bekerja bukanlah sesuatu yang baru. Sejak dahulu, manusia bergerak mencari peluang. Namun dalam konteks hari ini, skala dan keperluannya semakin ketara. Peluang pekerjaan yang lebih baik tertumpu di bandar-bandar tertentu, manakala banyak kawasan lain terus berdepan dengan kekurangan peluang yang setara.

Keadaan ini membentuk satu corak yang hampir seragam. Anak muda meninggalkan kampung halaman, menuju ke pusat ekonomi, dan membina kehidupan di tempat yang jauh daripada keluarga. Dalam banyak keadaan, keputusan ini bukanlah sepenuhnya pilihan bebas. Ia sering kali merupakan hasil daripada pertimbangan yang terhad, antara peluang yang ada dan tanggungjawab yang perlu dipikul.

Apabila keadaan ini berlaku secara meluas, ia perlahan-lahan menjadi norma sosial. Kita tidak lagi melihatnya sebagai sesuatu yang luar biasa. Malah, ia dianggap sebagai satu fasa kehidupan yang perlu dilalui. Ada yang menyebutnya sebagai “pengorbanan”, tetapi dalam praktiknya, ia lebih kepada satu bentuk penyesuaian yang berpanjangan.

Kita belajar untuk hidup dengan jarak. Kita membiasakan diri dengan panggilan video menggantikan pertemuan, dengan kiriman wang menggantikan kehadiran, dan dengan ucapan “nanti raya kita jumpa” sebagai pengubat rindu yang tertangguh.

Dalam banyak keadaan, kita bukan sahaja menyesuaikan diri dengan jarak, tetapi juga dengan satu susunan kehidupan yang jarang dibina dengan kesejahteraan manusia sebagai pertimbangan utama. Kehidupan dewasa sering digambarkan sebagai usaha mencari tujuan, tetapi bagi ramai, ia lebih menyerupai proses belajar untuk bertahan dalam sistem yang telah ditentukan— yang mana mobiliti menjadi keperluan, dan kedekatan dengan keluarga menjadi sesuatu yang perlu dikompromi. Lama-kelamaan, bukan sahaja jarak itu diterima, tetapi logik di sebalik jarak itu juga tidak lagi dipersoalkan.

Dalam suasana sebegini, Aidilfitri menjadi lebih daripada sekadar perayaan. Ia menjadi satu-satunya masa yang mana jarak itu dirapatkan, walaupun hanya untuk sementara. Maka tidak hairanlah jika kepulangan itu diraikan dengan begitu besar—kerana ia sebenarnya menutup satu kekosongan yang wujud sepanjang tahun.

Namun, apabila sesuatu keadaan diterima terlalu lama, kita jarang berhenti untuk mempersoalkannya.

Kita jarang bertanya sama ada susunan ini benar-benar pilihan terbaik, atau sekadar satu realiti yang kita telah biasakan diri untuk terima.

Sebahagian daripada jawapannya terletak pada bagaimana ekonomi moden disusun. Tumpuan aktiviti ekonomi di kawasan tertentu mewujudkan ketidakseimbangan peluang. Bandar besar terus berkembang sebagai pusat pekerjaan, manakala kawasan lain bergelut untuk menyediakan alternatif yang setara. Dalam keadaan ini, mobiliti menjadi satu keperluan, bukan lagi sekadar pilihan.

Pada masa yang sama, kos hidup di kawasan bandar yang tinggi menambah satu lagi lapisan cabaran. Walaupun peluang pekerjaan mungkin lebih banyak, kos untuk mengekalkan kehidupan juga meningkat. Ini secara tidak langsung menghadkan keupayaan untuk kerap pulang atau mengekalkan hubungan fizikal yang rapat dengan keluarga.

Akhirnya, kita terperangkap dalam satu kitaran, bekerja jauh untuk menyara kehidupan, dan hanya sesekali pulang untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Persoalan yang lebih besar ialah: adakah ini satu-satunya model yang kita ada?

Perbincangan ini bukan bertujuan untuk menolak realiti bahawa pembangunan ekonomi memerlukan tumpuan dan kecekapan. Bandar-bandar besar akan terus memainkan peranan penting sebagai pemacu pertumbuhan. Namun dalam masa yang sama, perkembangan teknologi dan perubahan cara bekerja membuka ruang kepada kemungkinan yang berbeza.

Model kerja yang lebih fleksibel semakin mendapat tempat. Kerja jarak jauh dan hibrid telah membuktikan bahawa banyak tugasan tidak lagi terikat sepenuhnya kepada lokasi fizikal. Namun mungkin kita belum cukup berani untuk melangkah lebih jauh daripada sekadar penyesuaian minimum.

Bayangkan satu model yang lebih tersusun, contohnya dua minggu bekerja secara fizikal di lokasi kerja, diikuti dua minggu bekerja dari kampung halaman atau tempat tinggal keluarga. Dalam tempoh bekerja secara fizikal, fokus diberikan kepada mesyuarat, koordinasi, dan tugasan yang memerlukan kehadiran. Manakala dalam tempoh seterusnya, kerja diteruskan secara jarak jauh dengan penekanan kepada tugasan individu, perancangan, dan pelaksanaan.

Model sebegini bukan mustahil. Dalam beberapa industri, konsep giliran kerja atau “rotation” sudah lama diamalkan, terutamanya dalam sektor seperti minyak dan gas. Perbezaannya, pendekatan ini boleh diperluaskan dan disesuaikan untuk sektor lain yang semakin digital sifatnya.

Dalam konteks ini, mungkin sudah tiba masanya untuk perbincangan yang lebih tersusun di peringkat dasar dan organisasi. Tanpa perlu perubahan yang radikal, pendekatan perintis boleh diperkenalkan secara terhad dalam sektor-sektor tertentu yang sesuai. Ini boleh melibatkan garis panduan kerja hibrid yang lebih fleksibel, termasuk model giliran kerja seperti dua minggu bersemuka dan dua minggu jarak jauh, tertakluk kepada keperluan operasi. Penilaian boleh dibuat berdasarkan produktiviti, kesejahteraan pekerja, dan impak terhadap kos organisasi. Jika dilaksanakan secara berperingkat dan berasaskan bukti, pendekatan ini boleh memberi gambaran yang lebih jelas tentang keberkesanannya dalam konteks tempatan.

Pada masa yang sama, usaha memperkukuh ekosistem pekerjaan di luar pusat bandar wajar terus diperkasakan. Pelaburan dalam infrastruktur digital, ruang kerja bersama di peringkat daerah, serta insentif kepada majikan untuk menyokong penempatan kerja yang lebih terdesentralisasi boleh menjadi antara langkah yang dipertimbangkan. Pendekatan ini bukan sahaja berpotensi mengurangkan tekanan migrasi dalaman, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan yang lebih seimbang antara wilayah. Dalam jangka panjang, matlamatnya bukan sekadar memudahkan orang pulang lebih kerap, tetapi membina satu susunan ekonomi di mana keperluan untuk berjauhan secara berpanjangan dapat dikurangkan.

Langkah-langkah ini bukan penyelesaian segera. Ia memerlukan masa, perancangan, dan kesediaan untuk menyesuaikan pendekatan sedia ada. Namun sekurang-kurangnya, ia membuka ruang kepada satu imaginasi yang lebih luas, bahawa kehidupan yang stabil tidak semestinya perlu dibina jauh daripada keluarga.

Dalam masa yang sama, mungkin kita juga perlu menilai semula cara kita mentakrifkan kejayaan. Jika kejayaan hanya diukur melalui pendapatan dan kedudukan, maka pengorbanan jarak mungkin kelihatan wajar. Tetapi jika kejayaan turut melibatkan kesejahteraan emosi, hubungan kekeluargaan, dan kualiti kehidupan secara keseluruhan, maka persoalannya menjadi lebih kompleks.

Raya sering kali mengingatkan kita tentang perkara ini.

Di sebalik kemeriahan, ada momen-momen kecil yang membawa makna yang lebih besar, makan bersama di meja yang sama, berbual tanpa tergesa-gesa, atau sekadar duduk diam di ruang yang pernah membesarkan kita. Momen-momen ini mungkin kelihatan biasa, tetapi dalam konteks kehidupan yang berjauhan, ia menjadi sesuatu yang sangat berharga.

Maka mungkin persoalan yang perlu kita renungkan bukan sekadar bagaimana untuk pulang setiap tahun, tetapi mengapa pulang itu hanya berlaku sekali-sekala.

Dalam kita terus bergerak ke hadapan, mengejar peluang dan membina kehidupan, mungkin sudah tiba masanya untuk kita bertanya dengan lebih jujur, kehidupan yang lebih baik itu sebenarnya diukur pada apa, dan untuk siapa.

Kerana dalam diam, mungkin kita bukan sekadar menerima jarak.

Kita sudah mula membiasakannya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *